Ayuh, DAFTAR SEGERA! Buktikan Mahasiswa Malaysia TIDAK MANDOM!

Sebarang pertanyaan, cadangan dan komentar boleh diajukan terus kepada: kongresmahasiswa@gmail.com

Hantarkan Nama penuh, Kampus & No. Tel anda dan emailkan penyertaan anda ke :daftarkgmn@gmail.com

Hubungi : 013-4061946 (Taufik)

PENA SISWA

Mengupayakan Mahasiswa, 
Memaknai Malaysia.

      Berbicara tentang mahasiswa kontemporari di Malaysia rata-ratanya akan menjurus kepada sebuah penutup yang titik noktahnya ialah sebuah pandangan umum yang hampir disepakati bahawa itulah yang sedang berlaku; yakni mahasiswa semakin ketandusan idealisme perjuangan yang tulen, kegagalan mahasiswa untuk mencerap bakat dan upaya intelektual, sekali gus untuk menyegarkan kembali nafas perjuangan mahasiswa demi membina dan mengukuhkan kembali sebuah kebangkitan yang baru, kebangkitan yang kerangkanya sangat memukau khalayak dalam dan luar Malaysia dan kerangka itu pula, akhirnya nanti bakal diisi dan diupayakan oleh para pemikir dan aktivis yang rata-ratanya masih muda dan menuntut di institut pengajian tinggi dan dalam konteks ini sudah tentu kelompok pembangkit ini ialah mahasiswa.

Kerangka perjuangan mahasiswa adalah manifestasi kepada kekentalan semangat dan kekukuhan idealisme, tentu sahaja perlu menterjemahkan dua upaya tersebut ketika beraktivisasi bersama masyarakat pelbagai kelompok yang bukan alang kepalang untuk ditangani. Nelayan yang ditindas oleh tauke bot-bot besar, peniaga kecil yang runsing membayar itu dan ini, pemandu teksi yang tersepit dengan pengangkutan awam yang lebih maju dan jimat; dan seribu satu lagi kerunsingan yang dialami oleh masyarakat Malaysia adalah wajah-wajah suram masyarakat Malaysia yang wajib dikongsi oleh mahasiswa demi merealisasikan Mahasiswa Untuk Malaysia.

Menggagaskan sebuah kerangka pemikiran dan idea yang besar dan agung barangkali ada sedikit mudahnya untuk dilakukan berbanding cabaran untuk mengupayakan gagasan tersebut dengan penglibatan mahasiswa bersama masyarakat. Memalu lantang slogan ‘Mahasiswa Jurucakap Masyarakat’, ‘Mahasiswa Santuni Masyarakat’, ‘Mahasiswa Rakan Masyarakat’ dan sepertinya memanglah sangat mengasyikkan lagu dan iramanya namun segala-galanya ini akan terzahir tempang dan sumbang jika slogan itu rupanya lebih panjang dan gah daripada komitmen mahasiswa untuk menyelami luka-luka masyarakat hingga ke dasarnya. Tambah memualkan, gelagat mahasiswa yang tidak ubah seperti lagak calon pilihan raya yang bertandang dari rumah ke rumah dengan satu ayat keramat yang selalu hanya ketika pilihan raya umum dan kecil sahaja akan didengari dan  semakin muak untuk didengarkan lagi yakni ‘kami akan selesaikan masalah anda’!

Aktivisasi mahasiswa bersama masyarakat harus segera diubah kaedahnya. Matlamat harus lebih besar dan berfungsi untuk menyentak khayalan rakan seangkatan dan sepengajian bahawa ‘kita ada tugas yang maha besar!’. Jangan lagi berprogram seperti Bakti Siswa (Baksis) yang senantiasa seronok programnya seperti pengalaman penulis. Datang ke kampung-kampung dengan tanpa perlu memikirkan lagi soal perbelanjaan kerana itu sudah ditanggung oleh penaja. Turun ke sekolah-sekolah dengan memberi motivasi dan teknik pembelajaran melalui cedok buku-buku motivasi yang komersial nilainya tetapi gagal pula memahami apa sebenarnya kesulitan yang dihadapi oleh para pelajar tersebut. Pertemuan dengan guru-guru pula subjek perbualannya adalah menjurus tentang diri, kursus di universiti, latar belakang keluarga dan senada dengannya. Akhirnya hal paling fundamental pula dilupakan yang sepatutnya dikongsi bersama oleh mahasiswa dan pendidik sekolah tersebut seperti pola keluarga para pelajar disitu, kesulitan menangani masalah disiplin dan puncanya, pencapaian dan strategi sekolah untuk meningkatkan prestasi akademi pelajar. Berbual tentang ini tentulah sangat selaras dengan peribadi mahasiswa yang dipandang tinggi dan menjadi contoh tauladan yang sangat berguna dan berfungsi oleh pelajar sekolah. Demikian salah satu contoh tragedi kegagalan mahasiswa untuk merangka program yang sesuai untuk pelajar dan masyarakat sebagai manifestasi mahasiswa jurucakap masyarakat.

Mengupayakan mahasiswa bermakna menggunakan sedaya upaya bakat intelek dan fikrah perjuangan untuk sanggup hidup dalam kesusahan masyarakat, berbincang dan mendengar suara-suara dari lubuk hati mereka yang terpinggir, merancang sebuah solusi bersama masyarakat dan menyuarakan solusi tersebut dalam kelompok masyarakat, dikelilingi masyarakat sehingga kelihatannya mahasiswa ini adalah pembela yang tegas untuk golongan masyarakat yang rata-ratanya ialah kelompok mustadh’afin.

Interaksi yang berterusan seperti ini mengupayakan pula masyarakat untuk tidak pasif bahkan semakin terkembang pengetahuan dan kefahaman tentang isu semasa melalui kebijaksanaan mahasiswa mencapahkan penerangan dan akhirnya, memahami bersama keperluan untuk  masyarakat dan mahasiswa bergabung demi mencapai matlamat yang kolektif. Masa depan Malaysia seharusnya difahami dan dihadam risikonya oleh sekalian mahasiswa yang menjadi tunjang harapan negara.

Memahami Malaysia dengan kerangka yang lebih luas membawa mahasiswa kepada suatu agenda yang lebih besar lagi yakni apakah kaedah dan manhaj apa yang terbaik patut digembleng supaya sebuah Malaysia yang mahasiswa fahami dapat dimaknai dengan sebaik mungkin. Manhaj yang mampu memberikan sinar baru kepada golongan belia yang perlukan sokongan dari rakan sebaya, golongan tua yang perlukan pemuda yang mampu membela nasib dan celaka hidup mereka, wanita terlanjur yang perlukan bantuan untuk pulang ke pangkal jalan dan sebagainya yang penuh dengan konflik kehidupan sekaligus mampu menyelamatkan Malaysia daripada melalui sebuah episod hitam masa depan, episod yang penuh dengan kerosakan golongan yang sepatutnya menjadi tunjang harapan negara, episod yang melenyapkan wawasan kemajuan yang digaris oleh kepimpinan dan episod yang bakal menghitamkan sejarah kegemilangan Malaysia. Maka disini sangat penting dan kritikal untuk mahasiswa segera memaknai Malaysia ini dengan nilai-nilai progresif bersama masyarakat demi mengekalkan kedaulatan negara.

Memaknai disini ialah sebuah tindakan untuk mengisi kerangka yang telah dibina secara konsensus sesama mahasiswa. Peringkat ini adalah yang sukar untuk dilakukan justeru kerangka tersebut harus dibumikan dan dilebarkan fahamnya bukan hanya dalam kelompok mahasiswa bahkan mampu disebarluar dan luaskan sehingga menyerap ke segenap akar umbi masyarakat.

Walaupun perjuangan untuk masyarakat itu dilihat sangat wajar dan penting namun ufuk pemikiran dan perjuangan harus terus dikembangkan kepada beberapa juzuk yang turut menyentuh masa depan Malaysia. Persoalan masyarakat ketika ini tidak hanya berkisar pada soal untung rugi yang dipungut oleh masyarakat hasil percaturan polisi-polisi oleh kerajaan dan ahli politik semata-mata.

Meyakinkan masyarakat bahawa harapan untuk mereka akan terjamin melalui manifesto-manisfesto parti politik juga bukan sebuah gerak kerja yang cerdik bahkan perjuangan masyarakat ketika ini begitu meluas sehingga melampaui batasan wilayah geografi dan perbezaan warna kulit dan faham keagamaan.

Contohnya persoalan kedaulatan negara yang semakin terhakis ekoran badai globalisasi sepatutnya menyedarkan masyarakat bahawa Mustakbirin yang menjajah dan menguasai kehidupan masyarakat yang Mustadh’afin justeru didalam globalisasi terisi dalamnya sebuah set yang hampir lengkap untuk menanggalkan manusia sedunia daripada berakar dengan kebudayaan dan agama yang asli kepada sebuah kehidupan yang sekular dan terisi kebudayaan yang hedonistik dan seertinya.

Wajah-wajah yang menjadi peralatan untuk menjayakan serangan pemikiran dan kebudayaan adalah seperti McDonaldnisasi, Liberalisme, Islam Liberal, Konsumerisme, Pasca-Modenisme, Kapitalisme dan pelbagai. Unsur-unsur ini, yang dilihat begitu mesra dan hampir dengan keinginan fitrah manusiawi seperti kebebasan, hak asasi manusia, pencerahan, keuntungan dan seumpamanya, berupaya untuk melenyapkan ketulenan bangsa dan kedaulatan negara dengan melenyapkan kebudayaan tempatan dan timur dan berganti kepada sebuah kebudayaan yang global dan sejagat. Timur dan Barat masyarakatnya tidak sama kulitnya namun menganut sebuah kebudayaan telah meletakkan mereka pada duduk berdiri yang sama tinggi.

Memahami kesemua cabaran ini bermakna mahasiswa berada dalam sebuah dilema yang besar dan sukar untuk ditangani namun bukan mustahil untuk ini semua dihadapi dengan bijaksana dan matang asalkan sedikit masa diambil untuk refleksi kembali ke dalam diri dan organisasi untuk merenung sejauh mana persediaan ini sudah digerakkan dan disebarluaskan kepada masyarakat pelbagai peringkat dan latar belakang.

Sebuah pemikiran yang berintikan Malaysia yang tulen dan rencam dengan nilai sejarah budaya dan agama bangsa-bangsa asal yang mendiami wilayah Malaysia wajar segera ditebarkan benihnya dalam pelbagai sektor dan lapangan seperti pendidikan, ketenteraan, kerajaan, seniman dan seumpamanya supaya kefahaman tentang Malaysia yang tulen dan jauh daripada anasir imperialisme mampu dijauhi dengan semangat patriotik dan nilai keagamaan yang tinggi dan kukuh. Inilah hakikat sebenar sebuah Malaysia yang seharusnya dimaknai kandungannya oleh mahasiswa yang bersemangat hebat untuk menggerakkan sebuah kebangkitan baru bersama nilai keilmuan yang diperkasa padu.


*Sebarang penyiaran artikel boleh diemailkan kepada : himpunanmahasiswa@gmail.com